Garis Panduan Bagi Pengurusan Jenazah Orang-Orang Islam Luar Negeri.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984 telah membincangkan isu Garis Panduan Bagi Pengurusan Jenazah Orang-Orang Islam Luar Negeri. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika sekirannya keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang benar-benar memerlukan post mortem atau simati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.
  2. Pengkebumian mayat di dalam peti yang tertutup boleh dilakukan dengan syarat muka simati dibuka dan tubuhnya dihadapkan ke arah qiblat.
  3. Pemindahan mayat dari satu negeri ke satu negeri yang lain adalah harus sekiranya keadaan memerlukan (darurat) tetapi mestilah dipastikan simati dipindahkan dalam keadaan yang baik dan sempurna.
Keterangan/Hujah
Pembedahan mayat dalam Islam adalah harus sekiranya dharurat seperti dengan sebab-sebab yang berikut:
  1. Perempuan yang mati mengandung sedangkan ada anak yang masih dalam kandungannya, maka boleh dibedah untuk menyelamatkan anak itu.
  2. Seseorang yang tertelan harta yang bernilai tinggi (mahal harganya) kemudian ia mati, maka boleh dibedah untuk dikeluarkan harta itu.
  3. Orang yang mati akibat di pukul atau lain-lain perbuatan jenayah, maka mayatnya boleh dibedah untuk dipastikan kematiannya dengan syarat tujuan pembedahan itu adalah benar-benar untuk menentukan sebab kematian dan pembedahan itu diizinkan oleh warisnya tetapi tidaklah secara mutlak kerana hakim pemerintah juga bertanggungjawab sebagai wali.
  4. Pada masa ini terdapat kes-kes di mana pihak universiti tempatan menggunakan mayat umat Islam untuk tujuan latihan amali pemindahan bagi pelajar-pelajar Fakulti Perubatan. Perkara seumpama ini sebaik-baiknya hendaklah dielakkan di masa-masa akan datang.
  5. Pengkebumian mayat dalam peti yang tertutup adalah tidak bertentangan dengan ajaran Islam, cuma yang perlu dipastikan ia dibuka untuk memastikan mayat mengadap qiblat.
  6. Pemindahan mayat dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu negara ke negara lain dari pandangan Mazhab- Mazhab dalam Islam adalah berbeza-beza. Walaubagaimanapun pertimbangan darurat diambil kira dalam penentuan hukum.

No comments:

Post a Comment