MEMBACA AL-QURAN ATAS
KUBOR
Sebenarnya isu klasik ini telah
diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :
Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin
Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan
ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni
kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”
Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : “Apa yang perlu dibaca
selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para
sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur
sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan
al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi,
al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut, 1996, hlm 142 )
Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan
biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia
orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”
Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku
bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau
menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya
: “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka
selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”
Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi
Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah
al-Baqarah.”
Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan
dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah
tamar yang dibelah dua oleh Nabi . Kemudian Baginda memacaknya satu di
atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda
bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi
kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan
Muslim al-Thaharah 111/292)
Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh
memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat
suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu
lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak
pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu
mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.
Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang
lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati
beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan
pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai
kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah,
al-Ruh, hlm 152-159)
Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah
al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu
tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya.
Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang
lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”
Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan :
“Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat
kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu
terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan
Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika
dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab
sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan
Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada
Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula
kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)
Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak
dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah
dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia
merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)
No comments:
Post a Comment