Keputusan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-29 yang bersidang pada 19 Februari 1992 telah membincangkan Kaedah Pengendalian Mayat Pesakit AIDS di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Mayat pesakit AIDS tidak termasuk dalam kategori yang diberi pengecualian dari dimandikan dan dikapankan. Tidak termasuk dalam kategori boleh diberi kelonggaran (rukhsah) dengan tayamum. Oleh itu mayat pesakit AIDS wajib dimandi, dikapan, disembahyang dan dikebumikan seperti mayat orang Islam yang lain.
- Pengurusan mayat (jenazah) pesakit AIDS hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti memakai sarung tangan, muka dan mencuci tangan dengan clorox.
Keterangan/Hujah
AIDS adalah sejenis virus (kuman) yang melemahkan sistem pertahanan badan manusia dan boleh membawa maut. Umumnya AIDS boleh berjangkit melalui hubungan seks dengan pasangan yang terkena jangkitan virus AIDS atau berkongsi menggunakan jarum suntikan terutama penagih-penagih dadah. Virus AIDS tidak boleh hidup dalam badan atau anggota manusia yang telah mati tidak lebih 6 atau 7 jam dan tidak boleh hidup dalam daging atau sel binatang umpamanya dalam darah nyamuk. Virus AIDS boleh hidup dan berjangkit dalam bendalir badan manusia, peratus paling tinggi ialah dalam darah dan air mani, sementara air liur, hingus dan susu badan, peratus jangkitan melaluinya terlalu rendah. Virus AIDS tidak boleh merebak melalui perhubungan biasa seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan atau bekerja dengan pengidap AIDS dan ia juga tidak merebak melalui udara.
Setiap mayat orang Islam wajib di mandi, dikapan, disembahyang dan ditanam. Walaubagaimanapun terdapat penyecualian dan kelonggaran (ruksah) kepada hukum ini seperti berikut:
- Dikecualikan daripada mandi dan sembahyang kepada orang Islam yang terbunuh dalam peperangan melawan orang kafir kerana menegakkan agama Allah, ini berdasarkan hadith yang bermaksud “Dari Jabar sesungguhnya Nabi memerintahkan kepada sahabat-sahabat baginda, berhubung dengan orangorang yang terbunuh dalam peperangan Uhud supaya mereka dikuburkan bersama darah mereka tidak dimandikan dan tidak pula disembahyangkan”. (Riwayatkan Al-Bukhari)
- Diberi kelonggaran (ruksah) dengan tayamum bagi menggantikan mandi sekiranya mayat sudah hancur akibat kebakaran, apabila ketiadaan air atau pada ketika tidak ada perempuan atau mahram untuk memandikan mayat perempuan begitu juga sebaliknya.
Kementerian Kesihatan telah memberikan garis panduan sebagai langkah berjaga-jaga kepada orang-orang yang terlibat dalam pengurusan mayat pesakit AIDS seperti memakai sarung tangan sekiranya tangan atau jari luka, memakai sarung muka, kasut panjang dan dinasihatkan mencuci tangan dengan clorox. Sementara untuk mengelap cecair yang keluar daripada rongga seperti hidung, mulut dan sebagainya hendaklah menggunakan penyepit.
No comments:
Post a Comment