HUKUM WANITA BERHAID MENGURUSKAN JENAZAH DAN PERGI KE KUBUR
Soalan:
Apakah
hukum wanita yang berhaid menguruskan jenazah dan pergi ke kubur?
Jawapan:
Alhamdulillah
segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke
atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda,
para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga
hari kiamat.
Memandangkan
istilah menguruskan jenazah itu agak umum, maka bagi menjawab persoalan ini,
kami bahagikan jawapan kepada tiga bahagian:
- Hukum wanita
berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah
- Hukum wanita
berhaid mensolatkan jenazah
- Hukum wanita
berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah
Hukum wanita berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah
Di dalam
matan fiqh seperti Safinah al-Naja ada menyebut 10 perkara
yang diharamkan ke atas wnaita berhaid iaitu:
- Solat
- Tawaf
- Menyentuh
mushaf al-Quran
- Membawa mushaf
al-Quran
- Membaca
al-Quran
- Puasa
- Talak
- Menetap dalam
masjid.
- Melintasi
masjid sekiranya dikhuatiri menitis darah haid.
- Istimta` (bermesraan secara seksual) antara pusat dan lutut.
Perbuatan
memandikan dan mengkafankan jenazah tidak termasuk dalam senarai perkara yang
diharamkan bagi wanita berhaid. Para ulama juga tidak menyenaraikan syarat sah
mandi dan mengkafankan jenazah mestilah orang yang memandikan dan mengkafankan
itu orang yang suci daripada hadas kecil atau hadas besar termasuk wanita berhaid.
Berkenaan
hukum wanita memandikan jenazah suaminya, maka hukumnya adalah harus.
Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 211: Batalkah Wuduk Suami Apabila
Memandikan Jenazah Isteri ?
Hukum wanita berhaid mensolatkan jenazah
Wanita
yang berhaid haram melakukan sebarang solat dan solat yang dilakukan dalam
keadaan berhaid adalah tidak sah. Ini berdalil hadith daripada Fatimah binti
Abu Hubaish R.Anha, dia kedatangan darah istihadhah, lantas
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا
كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى
وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
Maksudnya: “Jika
darah haidh, ia biasanya hitam. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat
dan jika sebaliknya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah
darah penyakit.”
Riwayat Abu Daud (286)
Justeru
solat jenazah yang dilakukan oleh wanita yang berhaid adalah tidak sah dan
tidak memadai melepaskan tanggungjawab fardu kidayah satu-satu kawasan.
Hukum wanita berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah
Pertama: Secara umumnya, wanita adalah
dimakruhkan daripada mengikuti jenazah ke perkuburan, sama ada dia berada dalam
keadaan haid atau tidak. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Atiyyah
R.Anha, katanya:
نُهِينَا عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
Maksudnya: “Kami ditegah mengiringi jenazah namun ia bukanlah sebagai
perintah kepada kami.”
Riwayat al-Bukhari (1219) dan Muslim (938)
Sebahagian
ulama berpendapat hukumnya adalah haram terutama mereka yang tidak
dipertanggungjawabkan untuk mengurus jenazah. Hal ini berdasarkan hadith,
daripada Ali RA, katanya:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا نِسْوَةٌ
جُلُوسٌ فَقَالَ: مَا يُجْلِسُكُنَّ. قُلْنَ نَنْتَظِرُ الْجِنَازَةَ. قَالَ: هَلْ
تَغْسِلْنَ؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ: هَلْ تَحْمِلْنَ؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ: هَلْ
تُدْلِينَ فِيمَنْ يُدْلِى؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ فَارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ
مَأْجُورَاتٍ
Maksudnya: “Ketika
Rasulullah SAW keluar, tiba-tiba Baginda bertemu beberapa orang orang perempuan
yang sedang duduk. Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu duduk? Mereka
menjawab: Kami sedang menunggu jenazah. Baginda bertanya lagi: Adakah kamu akan
memandikannya? Mereka menjawab: Tidak. Adakah kamu akan mengusungnya? Mereka
menjawab: Tidak. Baginda seterusnya bertanya: Adakah kamu akan memasukkannya ke
dalam kubur? Mereka menjawab: Tidak. Lalu Baginda bersabda: Baliklah. Kamu
dalam keadaan bersalah tanpa mendapat ganjaran.”
Riwayat Ibn Majah (1645)
Hadith
tersebut menunjukkan bahawa mereka berdosa dan tidak mendapat ganjaran dengan
perbuatan mereka mengiringi jenazah dan menghadiri pengebumian itu. Rujuk al-Fiqh
al-Manhaji (1/260).
Namun
begitu terdapat ulama yang mendaifkan hadis ini seperti Imam al-Nawawi,
menjadikan hukumnya kekal sebagai makruh. Rujuk al-Majmu Syarh
al-Muhazzab (5/277).
Adapun
wanita yang kematian suami, maka haram baginya untuk mengikuti jenazah suaminya
ke kubur kerana mereka wajib melaksanakan iddah melainkan kerana hajat atau
darurat. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu `Atiyyah al-Ansariyyah
R.Anha, katanya:
كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى
زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلاَ نَكْتَحِلَ وَلاَ نَتَطَيَّبَ وَلاَ
نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ، وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ
الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ
أَظْفَارٍ، وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ
Maksudnya:
“Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari
melainkan kematian suami yang dibenarkan berkabung selama empat bulan sepuluh
hari. Kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang
cantik, berseri melainkan ‘asb (sejenis pakaian perempuan Arab). Ketika mandi
setelah suci daripada haidh, kami dibenarkan menggunakan sedikit minyak wangi.
Kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah.”
Riwayat al-Bukhari (307) dan Muslim (938)
Dalam
satu hadis Jabir bin Abdullah RA:
طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ
أَنْ تَخْرُجَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:
بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ، فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي، أَوْ تَفْعَلِي
مَعْرُوفًا
Maksudnya:
"Makcik sebelah ibuku telah diceraikan oleh suaminya, lalu dia ingin
memetik buah kurma, namun dia dilarang oleh seorang lelaki untuk keluar
rumah." Lalu makcikku itu berjumpa Nabi SAW menanyakan hal itu, maka
Baginda menjawab; "Ya, boleh! Petiklah buah kurmamu, semoga kamu dapat
bersedekah atau berbuat kebajikan."
Riwayat Muslim (1483)
Berkata
Imam al-Syafie Rahimahullah: “Kebun tamar orang Ansar dekat dengan rumah
mereka dan waktu menuai adalah waktu siang, lalu Baginda membenarkan hal itu.”
Rujuk al-Hawi al-Kabir (11/272)
Difahami
juga daripada hadis ini bahawa wanita yang ditalaq bain dan kematian suami
yakni yang tidak diberikan nafkah, boleh keluar rumahnya untuk mencari nafkah
dirinya dan memenuhi hajat dirinya. Ini termasuklah meminta fatwa daripada
orang alim, berbual-bual di rumah jiran untuk menghilangkan kesunyiannya dan
bersedekah dalam jarak bersebelahan dan berdekatan dengan rumah pelamin mereka,
dengan syarat hendaklah dia bermalam di rumah pelamin dan bukan diluarnya.
Antara
perkara yang tidak dimasukkan sebagai hajat ialah ziarah kubur. Berkata Syeikh
Ibrahim al-Baijuri dalam Hasyiah-nya: “Dan bukan daripada hajat itu
perbuatan ziarah, melawat orang sakit sekalipun ibu bapanya. Maka haram ke atas
wanita beriddah itu untuk menziarahi dan melawat ibu bapanya yang sakit. Haram
juga ziarah kubur para wali dan orang soleh bahkan kubur suaminya sendiri juga
tidak boleh.”
Rujuk Hasyiah al-Baijuri (2/259)
Kedua: wanita juga secara umumnya dilarang
secara makruh untuk menziarahi kubur. Ini khususnya jika dikhuatiri wanita
tersebut tidak dapat mengawal perasan lalu terjebak dalam perbuatan berdosa
ketika di kubur seperti meratap dan mencarik-carik baju. Adapun jika diyakini
wanita berkenaan akan melakukan dosa, maka hukum menziarahi kubur itu adalah
haram bagi wanita itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Malik
al-Asy’ari RA, Nabi SAW bersabda:
النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا تُقَامُ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ
Maksudnya: “Perempuan
yang meratap dan tidak bertaubat sebelum dia mati, dia akan dibangunkan pada
hari Kiamat dalam keadaan badannya penuh dengan kurap yang berminyak-minyak.”
Riwayat Muslim (935)
Begitu
juga hadith, daripada Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ، وَدَعَا
بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ
Maksudnya:
“Bukanlah daripada golongan kami mereka yang menampar-nampar pipi,
mengoyak-ngoyak baju dan meratap sebagimana ratapan orang zaman jahiliyah.”
Riwayat al-Bukhari (1232)
Daripada
Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
لَعَنَ اللَّهُ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur.”
Riwayat Abu Daud (3236)
Namun
sekiranya wanita tersebut seorang yang diyakini kuat imannya dan aman daripada
melakukan kesalahan yang menyalahi adab menziarahi kubur, maka hukum ziarah
kubur bagi wanita sebegini adalah tidaklah haram. Ini berdasarkan hadis riwayat
Anas bin Malik RA:
مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِامْرَأَةٍ عِنْدَ قَبْرٍ وَهِيَ
تَبْكِي فَقَالَ اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي
Maksudnya: Nabi SAW melalui seorang wanita yang sedang menangis
di perkuburan. Lalu Baginda bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan
bersabarlah.”
Riwayat al-Bukhari (1252) dan Muslim (926)
Daripada
Aisyah RA, bahawa dia bertanya kepada Rasulullah SAW apa yang perlu dibaca
apabila menziarahi Perkuburan Baqi`. Rasulullah SAW bersabda:
قُولِي السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا
وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ
Maksudnya: Kamu
sebutlah: “Selamat sejahtera ke atas ahli negeri ini (perkuburan Baqi`),
daripada kalangan orang yang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka
yang pergi lebih awal dan yang akan pergi. Sesungguhnya kami pasti, dengan izin
Allah, akan menyusuli kalian.”
Riwayat Muslim (974)
Jika
hukumnya berziarah kubur haram bagi wanita, nescaya Rasulullah SAW akan menegur
wanita berkenaan dan tidak mengajar isterinya Aisyah doa ketika di kubur.
Berkata
para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:
“Namun
sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’ dan orang soleh
dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul, bersesak-sesak,
bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang mungkin membawa
fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka berziarah.”
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/266)
Sebahagian
ulama menyatakan hukum sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum
kerabatnya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (1/389). Wallahua’lam.
Kesimpulan
Berdasarkan
keterangan di atas, kami menyatakan bahawa:
- Harus bagi
wanita yang berhaid untuk memandikan dan mengkafankan mayat.
- Haram bagi
wanita yang berhaid untuk menyolatkan jenazah.
- Makruh bagi
wanita, sama ada sedang haid atau tidak, untuk mengiringi jenazah ke
perkuburan.
- Adapun bagi
wanita yang kematian suami, haram mengikuti jenazah suaminya ke kubur,
sama ada berhaid atau tidak, kerana waktu iddahnya sudah bermula melainkan
jika mempunyai hajat atau darurat dalam pengurusan jenazah. Sebetulnya,
waris dan tetangga yang lelaki perlu membantu pengurusan jenazah agar
isterinya tidak terbeban dan boleh melaksanakan iddahnya dengan tenang.
- Makruh bagi
wanita untuk menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur
Rasulullah SAW, maka hukumnya adalah sunat. Juga kubur orang-orang soleh,
dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab ziarah. Pendapat lain
pula mengatakan haram. Pendapat lain menyatakan harus sekiranya aman daripada
fitnah bagi wanita yang sudah tua berdasarkan hadis-hadis dan ini yang
lebih sesuai diamalkan pada masa sekarang dengan syarat dijaga adab-adab
ziarah. Begitu juga bagi wanita yang sudah tua. Pendapat lain pula
mengatakan haram.
Semoga
jawapan ini memberikan manfaat kepada semua pihak. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment