MEMBACA ALQURAN ATAS
KUBOR – BIDAH ?
Apakah benar, membaca al-Quran di kubur itu merupakan satu
amalan bid’ah dan sesat? Allahu Allah, kalau dibelek-belek kitab-kitab fiqh
ternyata tidak bahkan ianya dianjurkan. Antara yang sempat dibelek:
Kitab al-Iqna’ fi Halli al-Fadz Abi Syuja oleh Syeikh Khotib
Syarbini: “Dan membaca oleh yang ziarah itu disisi penghuni kubur itu akan apa
yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia pada tempat
dibacakan Al-Quran. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharapkan
baginya akan rahmat dan hendaklah berdoa yang ziarah itu selepas membaca
Al-Quran kerana doa itu memberi manfaat kepada mayat. Dan doa selepas membaca
Al-Quran lebih hampir kepada diperkenankan……’ [halaman 208; cetakan Dar
al-Fikr]
Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhabi al-Imam asy-Syafie oleh Dr
Musthafa Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji: “Apabila seseorang
penziarah memasuki kawasan perkuburan, disunatkan mengucapkan salam kepada
penghuni kubur dengan berkata:
السلام عليكم دار قوم مؤمنين و إنا إن شا الله بكم لا حقون ( رواه
مسلم : 249
Salam sejahtera keatas kamu, penghuni di rumah orang-orang yang
beriman. Sesungguhnya kami, insyaAllah (pada masa akan datang) menyusul pula
bersama-sama kamu [Hadits riwayat Muslim: 249]
Dan hendaklah membaca disisi mereka itu akan apa yang mudah
daripada al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia dimana saja tempat dibacakan
al-Quran, kemudian hendaklah ia berdoa bagi mereka itu setelah selesai membaca
al-Quran dan hendaklah ia hadiahkan umpama pahala bacaannya itu bagi sekelian
arwah mereka itu. Maka sesungguhnya doa itu diharapkan akan perkenan. Dan
apabila diperkenankan doa itu nescaya mengambil faedahlah oleh mayat dari
pahala bacaan tersebut. Wallahu a’lam [halaman 278; juzuk 1; cetakan Dar
al-Qalam]
Dalam kitab al-Majmu’ oleh al-Imam
an-Nawawi: “Disunnatkan bagi orang yang menziarahi kubur bahawa membaca apa-apa
yang mudah dari al-Quran dan mendoakan untuk mereka (yang mati) selepas bacaan
(al-Quran). Telah menashkan (yakni menyebut dengan terang/jelas) oleh Imam
Syafie padanya. Ashhab (juga) telah sependapat (pada masaalah ini). Menambah
beliau (Imam Syafie) ditempat lain dengan katanya ‘Jika mengkhatamkan bacaan
al-Quran oleh mereka (yang hidup) diatas (sisi) kubur lebihlah afdhalnya”
[halaman 311, juzuk 5, cetakan Dar al-Fikr]
Maka cukuplah untuk kita katakan bahwa membaca al-Quran dikubur
itu adalah disunatkan. Bukannya bid’ah lagi sesat sebagaimana dikatakan oleh
Dr. Azwira.
Seterusnya aku nak bawa lagi pendapat ulama yang menunjukkan
bahwa boleh bahkan disunatkan membaca al-Quran di kubur tatkala menziarahinya.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut di dalam
kitabnya ar-Ruh [cetakan kedua di Haiderabaad, mukasurat 13; cetakan Dar Ibn
Katsir, halaman 64 – 66]: Sesungguhnya tersebut daripada satu jamaah daripada
salaf, bahawa mereka berwasiat membaca al-Quran disisi kubur mereka pada ketika
pengkebumian. Abdul Haq berkata: “Bahawa Abdullah bin Umar رضي الله عنهما,
menyuruh dibacakan surah al-Baqarah disisi kuburnya. Dan sebahagian dari orang
yang menyaksikan perkara tersebut [wasiat tersebut] adalah al-‘Alaa` bin
‘Abdurrahman. Imam Ahmad رضي الله عنه pada permulaannya mengingkari perkara
tersebut [sampai dan harus membaca al-Quran] sebab tidak sampai lagi pada
beliau hadits, selepas itu beliau rujuk kembali dari fatwanya [dengan
mengatakan sampai dan harus membaca al-Quran].
Al-Khallal berkata dalam kitab beliau al-Jami’ pada bab Membaca
al-Quran Disisi Kubur: Telah mengkhabarkan daku oleh al-Abbas bin Muhammad Ad
Dauri, beliau berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Yahya bin Ma’in Beliau
berkata: Telah mengkhabarkan daku oleh Abdurrahman bin al-Alaa`, bin al-Jalaaj,
daripada bapanya, beliau ( yakni Abdurrahman) berkata: Telah berkata bapaku:
Apabila aku mati, letakkan daku di liang lahad engkau bacalah ‘Bissmillahi wa
ala millati Rasullilah’ dan timbuskan perlahan-lahan tanah atasku lalu bacalah
disisi kepalaku awal surah al-Baqarah,kerana bahawasanya aku telah mendengar
Abdullah bin Umar رضي الله عنهما,, berkata (berwasiat) seperti itu".
Abbas ad-Dauri berkata: Aku bertanya kepada Imam Ahmad bin
Hanbal, berkata aku: Adakah engkau hafal suatu (hadits) berkenaan membaca al-Quran
disisi kubur?.Beliau menjawab: Tidak dan aku telah bertanya pada Yahya bin
Ma’in, maka beliau mengkhabarkan tentang hadits ini padaku
Al-Khallal berkata: Telah mengkhabarkan
kepadaku al-Hasan bin Ahmad al-Warraq, beliau berkata: Telah menceritakan daku
Ali bin Musa al-Haddad -beliau seorang yang sangat benar -, beliau berkata:
Adalah aku bersama-sama Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Qudamah al-Jauhari
mengiringi jenazah. Maka apakala selesai dikebumi mayyit tersebut, duduklah
seorang buta membaca al-Quran disisi kubur itu. Imam Ahmad berkata (menegur)
kepada lelaki itu: Hai lelaki … bahwa membaca al-Quran disisi kubur adalah
perbuatan bida’ah
Apakala kami keluar dari perkuburan, bertanya Muhammad bin
Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal; Wahai Abu Abdillah, apa kata (komen)
engkau pada Mubassyir al-Halabi?. Imam Ahmad menjawab: Orang thiqah
(kepercayaan). Berkata Muhammad bin Qudamah lagi: Adakah engkau tulis
(catit/riwayatkan) daripadanya sesuatu hadits?. Jawab Imam Ahmad: Bahkan (ya
aku catitkan). Muhammad bin Qudamah lalu berkata: Mengkhabarkan daku oleh
Mubsyir daripada Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Lajlaaj ,daripada bapanya:
Bahawa bapanya berwasiat apabila dia selesai dikebumi dibacalah disisi
kepalanya awal surah al-Baqarah dan akhirnya (Surah al-Baqarah). Kemudian dia
(al-‘Alaa) berkata: Aku dengar Ibnu Umar رضي الله عنهما berwasiat dengan
demikian itu. Lalu
Imam Ahmad berkata: Kembalilah engkau
(keperkuburan) dan katakan kepada lelaki tersebut "BACALAH".
Al Hasan bin Asshabah Azza’farani berkata "Aku
bertanya kepada Imam Syafie berkenaan membaca Quran di sisi kubur, maka beliau
menjawab: "Tak mengapa, dengannya" (tidak salah)".
Al-Khallal menyebut lagi: Adalah (shahabat dari golongan)
al-Ansar, apabila kematian dikalangan mereka ,mereka pergi ke kubur yang
kematian itu, membaca Quran disisinya".
Tersebut di dalam kitab Tahqiiqul Aamal fima Yanfa’ul Mayyit
minal ‘Amaal oleh al-Marhum as-Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki
al-Hasani:
Telah berkata al-Hafidz as-Suyuthi: Telah meriwayatkan al-Baihaqi
di dalam Syu’ab dan ath-Thabrani dari Ibn Umar رصي الله عنهما dari Nabi صلى
الله عليه وسلم (maksudnya): Apabila salah seorang daripada kalian mati, maka
janganlah kalian tahan lama-lama, segeralah untuk mengkebumikannya, dan bacakan
Faatihatul Kitab (surah al-Faatihah) dekat kepalanya. Dan menurut lafaz yang
diriwayat al-Baihaqi: Bacalah permulaan surah al-Baqarah dekat kepalanya dan
akhir surah al-Baqarah dekat kakinya, dikuburnya. [Syarhus Shudur – Imam
Suyuthi]
Aku (Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki) berkata (berpendapat):
Para shahabat telah mengamalkan hadits ini. Sebuah hadits diriwayatkan oleh
al-Khallal di dalam kitabnya al-Jami bab al-Qiraah ’ind Qubur: Telah
mengkhabarkan kami oleh al-Abbas bin Muhammad ad-Dauri, telah menceritakan
kepada kami Yahya bin Main, telah menceritakan kepada kami Mubassyir al-Halabi,
telah menceritakan kepada kami ‘Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj dari
bapanya, dia berkata: Telah berkata bapaku: apabila aku mati, letakkan aku di
dalam quburku kemudian bacalah:
بِسْمِ اللهِ وَعَلى سُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم
Dan timbuslah tanah atasku dengan cermat,
kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya,
kerana aku lihat Ibn Umar menggalakkan berbuat demikian. [al-Baihaqi – Sunan
al-Kubra]
Abbas ad-Duri pernah menanyakan kepada Imam Ahmad bin Hanbal,
apakah beliau hafal sesuatu yang harus dibaca di kubur, maka Ibn Hanbal
menjawab tidak, kemudian soalan yang sama dikemukakan kepada Yahya bin Main,
akhirnya beliau menceritakan hadits diatas.
Al-Khallal berkata: Aku mendapat khabar dari al-Hassan bin Ahmad
al-Warraq dari ‘Ali bin Musa al-Haddad, beliau adalah seorang yang benar, dia
berkata: Aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad Qudamah al-Jauhari
mengunjungi satu jenazah. Setelah jenazah itu dikebumikan, seorang lelaki buta
duduk membaca al-Quran disisi kubur. Lantas Imam Ahmad mendekati lelaki itu dan
berkata: Hei kamu! Membaca al-Quran disisi kubur adalah bid’ah.
Setelah kami keluar, Muhamad bin Qudamah bertanya kepada kepada
Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdillah, apa pendapatmu tentang Mubassyir
al-Halabi? Maka Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: Dia seorang yang tsiqah (boleh
dipercayai). Beliau (Imam Ahmad) bertanya: Apakah engkau meriwayatkan sesuatu
daripadanya? Ya! Jawab Ibn Qudamah. Dia pun melanjutkan penjelasannya: aku
mendapat berita dari Mubassyir dari Abdurrahman bin al-‘Alaa bin al-Jallaaj
dari ayahnya, dia berwasiat jika nanti jenazahnya dikuburkan, hendaklah dibaca
permulaan dan akhir surah al-Baqarah disisi kepalanya. Ayahnya berkata
bahwasanya wasiat beliau itu beliau dengar dari shahabat Abdullah bin Umar رصي
الله عنهما . Sebaik mendengar riwayat itu, Imam Ahmad ibn Hanbal menyuruh agar
kembali semula ke kubur dan memerintahkan agar lelaki buta tersebut meneruskan
bacaan al-Qurannya.
Al-Hassan bin as-Shobah al-Za’farani bertanya kepada Imam
asy-Syafie: Bagaimanakah hukum membaca al-Quran di kubur? Imam Syafie menjawab:
Laa ba’sa bih (tiada mengapa/ tiada apa-apa larangan akan hal itu) – Tahqiiqul
Aamal fima Yanfa’ul Mayyit minal ‘Amaal, halaman 58 – 60, Maktabah Dar Jawami’
al-Kalim]
Imam Al Baihaqi didalam kitab Ma’rifatus
Sunan, juzuk ke-4, halaman 191, cetakan Dar al-Kutub, hadits yang ke-2183:
قال الشافعى : وأحب لو قرئ عند القبر ودعى للميت.
Berkata Imam Syafie: “Dan saya suka
jikalau dibacakan disisi kubur al-Quran dan didoakan terhadap mayyit”.
Dari petikan yang aku bawakan diatas, jelas bahawa Imam Ahmad
ibn Hanbal dan gurunya Imam asy-Syafie membolehkan membaca al-Quran di kubur.
Siapalah Dr Azwira kalau nak dibandingkan dengan dua orang imam mazhab yang
bertaraf mujtahid mutlak. Apakah mau dikatakan mereka jahil dalam ilmu hadits?
Apakah mau dikatakan mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan sesuatu pendapat?
Apakah Dr Azwira dan panutannya al-Albani terlebih memahami al-Quran dan
as-Sunnah dari imam-imam ini?
Maka berhati-hatilah dengan golongan yang merasa diri meraka
alim, mampu istinbath hukum, mampu ijtihad dek kerana segulung Phd yang ada
padanya, dek kerana mereka sudah menjadi pensyarah dan sebagainya …… Perhatikan
dari mana dan dari siapa ilmu yang mereka ambil, kitab siapa yang mereka
telaah. Ulama’ mana yang menjadi panutan mereka. Jangan terus ditelan apa yang
mereka tulis atau perkatakan.
Rasanya cukuplah setakat ini. Mau saja aku menulis panjang lebar
tetapi dek kerana kesibukan, aku kumpulkan mana yang terdaya. Semoga kita tidak
tergolong didalam mereka yang suka membid’ah dan menyesatkan umat atas
semata-mata perkara khilaf. Sedangkan dihadapan mereka [golongan suka
membid’ah, menyesat dan mengkafirkan umat] … ada bahaya lebih besar yang mereka
diamkan, kerana itulah pegangan mereka … penggunaan hadits palsu dalam
menetapkan persoalan usul, persoalan aqidah. Kalian boleh baca disini ……
No comments:
Post a Comment