ADAB DAN PERATURAN ZIARAH KUBUR
Menurut huraian ulama’ rahimahumullah, orang yang berziarah kubur
dituntut melakukan seperti berikut:
1. Hendaklah ia bersih
dari hadas (sunat berwudhuk)
2. Ketika sampai ditanah
perkuburan, disunat memberi salam secara umum kepada ahli kubur dan berdoa
semoga mereka beroleh rahmat dan selamat sejahtera. Ini diterangkan dalam
hadith berikut:
Dari Buraidah al-Aslami r.a, katanya;
” Rasulullah s.a.w pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka
menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi
salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli
perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan
bahawa kami juga- Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai
gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami
dan kamu sekelian ”
(Hadith riwayat Ahmad , Muslim dan Ibnu Majah)
3. Setelah sampai
berhampiran kubur kaum kerabat atau sahabat kenalan, hendaklah berdiri rapat
ditepi kubur dengan mengadap muka simati (untuk mengetahui arahnya, semua
orang mati dikebumikan dengan keadaan mengiring atas sebelah kanannya dan
mukanya mengadap khiblat) sambil memberi salam secara khusus kepadanya :
Contohnya kalau simati ayah kita, maka lafaz salamnya ialah : ”Assalamualaikum wahai ayahku” dan kalau
ibu, ” Assalamualaikum wahai ibuku.”
Demikian seterusnya kepada kaum kerabat dan sahabat kenalan, beri salam
dahulu disertakan dengan panggilan yang biasa kita berbahasa dengan mereka
semasa mereka hidup.
4. Selepas memberi
salam, sunat membaca aya-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya
kepada simati.
5. Selepas membaca
ayat-ayat suci al-Quran hendaklah mengadap kiblat dan berdoa untuk simati
semoga Allah mengampuni dosanya dan melimpahkan rahmat kepadanya, kerana
doa yang didahului bacaan al-Quran lebih diharap makbulnya.
ZIARAH KUBUR RASULULLAH SAW
Umat Islam umumnya (lelaki dan perempuan), sunat menziarahi kubur
Rasulullah s.a.w di Madinah al Munawwarah kerana pahala dan kebaikannya amatlah
besar.
ZIARAH KUBUR IBU BAPA
Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakkad dan besar pahalanya.
Makin bertambah pahalanya – seperti diterangkan dalam hadith-hadith nabi s.a.w.
Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari
jumaat dan dibacakan surah Yaasin disisinya. Kelebihan mengenang ibu bapa
dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada
anak-anaknya yang soleh tetapi juga kepada anak derhaka. Seperti dalam sebuah
hadith diterangkan: Anak derhaka yang kematian
kedua ibu bapanya kemudian dia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa
untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.
ORANG YANG MATI SENTIASA BERHAJAT
KEPADA DOA UNTUKNYA
”Kenangkanlah daku dalam doamu”- rayuan ini bukan sahaja
terpancar dari orang yang hidup terhadap orang yang hidup, tetapi sentiasa dirayukan
oleh orang yang mati.Ini diterangkan dalam hadith maksudnya:
”Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang
tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat)
sesuatu doa dari anaknya,atau saudaranya, atau sahabat handainya. Apabila
(rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya
(rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya
hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. (Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)
Rayuan
rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati:
Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:
”
Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap
malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh
di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:
”
Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang
telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta
pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada
kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam
Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang
salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...”
”
Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat
masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.
”
Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika
tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa.” [Hadith yang menyayukan
hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144) ]
Kedua dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang
mati kepada doa orang-orang yang hidup.
Sebab itulah kita diberi panduan di dalam al-Qur’an [ Diantaranya: ayat 41, surah Ibrahim, dan ayat 10, surah Al-Hasyr
]. supaya tiap-tiap seorang sentiasa berdoa memohon
rahmat bukan sahaja bagi dirinya, ibu bapanya dan kaum kerabatnya- tetapi juga bagi
umat Islam umumnya, yang hidup dan yang mati. [ Jika si
mati orang salih maka doa itu dapat meninggikan darjatnya, dan jika ia berdosa
maka doa itu dapat menyelamatkannya dari azab (atau meringankan tanggungannya).
Tanwir al-Qulub (217).
LARANGAN BERKAITAN DENGAN KUBUR
Banyak perkara terlarang yang dilakukan oleh masyarakat kita
berkaitan dengan kubur antaranya:
1. Membuat
Bangunan Di Atas Kubur
Imam Syaukani mengatakan: ” Antara larangan meninggikan kubur adalah
termasuk membangun kubah-kubah dan makam-makam (cungkup-cungkup) yang
dibangunkan diatas kubur. Juga termasuk menjadikan kubur sebagai masjid,
padahal Rasulullah s.a.w telah melaknat orang-orang yang berbuat demikian.
Antara lain kepercayaan mereka yang menyangka bahawa kubur-kubur itu mampu
mendatangkan manfaat dan menolak bahaya lalu mereka menjadikannya sasaran untuk
meminta terkabulnya hajat dan tempat bersandar untuk berhasilnya suatu
cita-cita. Dan mereka meminta dari kubur apa yang semestinya diminta oleh
seorang hamba dari Tuhannya, dengan mengusap-ngusap kubur dan memohon
perlindungan daripadanya seperti perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang
zaman jahiliah.
2. Menembok
Kubur Dan Membuat Tulisan-Tulisan
Berdasarkan hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dilarang
menembok kubur dan membuat tulisan-tulisan di atasnya. Hendaknya kuburan
seorang muslim itu dibuat sederhana dan janganlah berbangga-bangga dan
bermegah-megah dengan kubur dan jangan membuat tembok, memagarinya dengan pagar
besi yang mahal, menulisnya dengan dakwat emas, mengukir dan sebagainya.
3. Menjadikan
Kubur Sebagai Tempat Solat
Perhatikan hadis dari Jundub, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud:
” Ingat! Sesungguhnya orang-orang yang sebelum
kamu dahulu menjadikan kubur nabi-nabi dan orang-orang soleh mereka seperti
masjid. Ingat! Sebab itu janganlah kamu menjadikan kuburan seperti masjid.
Sesungguhnya aku melarang kamu berbuat demikian.” (Riwayat Muslim)
Pada hadis lainya dari Abu Martsad Al-Ghanawi:
”Jangan kamu duduk di atas kubur dan jangan kamu solat
mengadap kepadanya.”
4. Berjalan
di Sela-sela Kubur Memakai Alas Kaki
Mengenai larangan berjalan disela-sela kubur dengan memakai alas kaki
dijelaskan dalam hadis dari Basyir Al-Khashashiah, mengatakan:
Bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki berjalan dengan
memakai terompah disela-sela kubur, maka baginda bersabda: ”Wahai pemakai terompah, tanggalkanlah terompah itu”.
(Riwayat
Al-Khamsah kecuali Tirmizi)
Menurut riwayat, orang itu melihat Rasulullah s.a.w dan
ketika diketahuinya.dia melepaskan terompah dan mencampakkannya.
Berdasarkan hadis tersebut di atas,dilarang duduk di atas kubur. Dan juga
dilarang berjalan di sela-sela kubur dengan memakai alas kaki. Ini
dianggap sebagai adab untuk menghormati penghuni kubur. Kecuali jika ditakuti
banyak duri atau sesuatu yang mungkin membahayakan kaki, maka dalam keadaan
demikian dibenarkan memakai alas kaki.
5. Meletakkan
Karangan Bunga Atau Seumpamanya
Meletakkan karangan bunga , bunga rampai dan sebagainya di atas
kuburan tidak disyariatkan di dalam Islam. Tidak ada nasnya dari Rasulullah
s.a.w dan tidak pernah diperbuat oleh sahabat. Perbuatan yang demikian
bertentangan dengan ajaran islam, sebab dapat digolongkan kepda pembaziran.
Firman Allah bermaksud:
” Dan janganlah kamu menghamburkan-hamburkan harta mu secara boros.
Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan
itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
(Al-Isra’
:26-27)
6. Menyembelih
Binatang Di atas Kubur
Menyembelih binatang di atas kubur adalah merupakan adat jahiliah
yang telah dibasmi oleh islam.
Janganlah dikalangan umat islam melakukan sembelihan di atas kubur.
Sebuah hadis dari Anas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda
bermaksud:
”
Tidak ada penyembelihan (binatang di perkuburan) dalam Islam.
(Riwayat
Abu Daud)Al-Khattabi berkata: ” Biasanya orang-orang jahiliah
menyembelih unta di makam lelaki dermawan. Kata mereka: ” Kita membalas
kebaikannya, kerana semasa hidupnya dia biasa menyembelihnya dan menyajikan
kepada tetamu. Maka sekarang kita sembelih haiwan ini dimakamnya untuk menjadi
makanan bagi burung-burung dan binatang buas. Dengan demikian dia tetap
menyediakan makanan setelah meninggal dunia sebagaimana dia telah menyediakan
makanan selama hidupnya.”
Demikianlah adat jahiliah. Dan adat ini telah dibasmikan dan dilenyapkan
oleh ajaran Islam, sesuai dengan hadis tersebut di atas.
PENUTUP
Demikianlah antara adab-adab yang perlu dilakukan apabila menziarahi
kubur. Namun ziarah kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari pengkebumian
atau setiap kali menjelangnya hari raya sahaja. Yang menjadi sunnah ialah
dengan menjadikan amalan menziarahi kubur itu sebagai suatu usaha oarng yang
hidup untuk mengingati oarng yang telah mati. Ia juga mengingati kita tentang
kematian dan membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadat sebanyak
mungkian kerana setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hanya amal soleh mengukur
darjat kita disisi Allah SWT.
No comments:
Post a Comment