IRSYAD AL-HADITH
SIRI KE-257: HADITH-HADITH MENZIARAHI KUBUR BAGI WANITA
Butiran Dimuatnaik
oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub Diterbitkan:
15 Mac 2018
·
Soalan: Apakah di antara hadith-hadith wanita menziarahi perkuburan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah
SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga
baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah
baginda SAW.
Perkuburan merupakan tempat
persinggahan bagi setiap insan yang bernyawa apabila telah dijemput ilahi.
Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa hadith sahih yang
menunjukkan wanita menziarahi kubur sebelum kami menyatakan akan hukumnya.
- Daripada Anas bin Malik RA berkata bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَتَى عَلَى امْرَأَةٍ تَبْكِي عَلَى صَبِيٍّ
لَهَا، فَقَالَ لَهَا: اتَّقِي اللهَ وَاصْبِرِي
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mendatangi seorang wanita yang sedang
menangis (di kubur) kerana kematian bayinya. Maka Nabi SAW berkata kepadanya:
Bertaqwalah kamu kepada Allah dan sabarlah.” [Riwayat Muslim (926)]
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW
bersabda:
لَعَنَ زَوَّارَاتِ
القُبُور
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW melaknat wanita yang menziarahi
perkuburan.” [Riwayat al-Tirmizi (1056)] [Imam al-Tirmizi menghukum
hadith ini hasan sahih]
Imam al-Tirmizi mengatakan sebahagian
ahli ilmu melihat riwayat ini berlaku sebelum daripada Nabi SAW memberi rukhsah
dalam menziarahi kubur. Apabila diberi rukhsah maka yang termasuk di dalam
rukhsah ini adalah lelaki dan juga wanita. Namun, sebahagian ahli ilmu yang
lain memahami hadith ini menunjukkan makruh bagi wanita menziarahi perkuburan
disebabkan wanita ini kurang kesabaran dan terlalu beremosi (mengeluh).
- Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah RA bahawa:
أَنَّ عَائِشَةَ
أَقْبَلَتْ ذَاتَ يَوْمٍ مِنَ الْمَقَابِرِ فَقُلْتُ لَهَا: يَا أُمَّ
الْمُؤْمِنِينَ، مِنْ أَيْنَ أَقْبَلْتِ؟ قَالَتْ: مِنْ قَبْرِ أَخِي عَبْدِ
الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ، فَقُلْتُ لَهَا: أَلَيْسَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ؟ قَالَتْ:
نَعَمْ، كَانَ قَدْ نَهَى، ثُمَّ أُمِرَ بِزِيَارَتِهَا
Maksudnya: “Pada suatu hari, Aisyah R.anha telah pulang dari salah satu
perkuburan. Maka aku berkata kepadanya: Wahai Ummul Mu’minin, dari mana kamu
datang? Maka Aisyah R.anha berkata: Dari kubur saudaraku Abd al-Rahman bin Abi
Bakar. Aku berkata lagi kepadanya: Bukankah Rasulullah SAW melarang menziarahi
kubur? Aisyah R.anha menjawab: Benar, dulu Baginda SAW melarang tetapi sekarang
Baginda SAW memerintahkan untuk menziarahinya.” [Riwayat al-Hakim di
dalam al-Mustadrak (1392)]
Hukum Menziarahi Kubur
Para ahli feqah tidak khilaf bahawa
sunat bagi lelaki menziarahi perkuburan berdasarkan hadith:
- Daripada Buraidah al-Aslami RA, bahawa Nabi
SAW bersabda:
إِنِّي كُنْتُ
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا؛ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ
الْآخِرَةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi
perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada
akhirat.” [Riwayat Ahmad (23005)] [Syeikh Syu’aib menghukum hadith ini
sebagai hadith yang sahih dan sanadnya kuat]
Ini kerana, Nabi SAW keluar ke
pekuburan al-Baqi’ bagi menziarahi orang yang telah mati dengan berkata:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَأَتَاكُمْ مَا تُوعَدُونَ غَدًا مُؤَجَّلُونَ،
وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kubur daripada
kalangan orang yang beriman dan apa yang dijanjikan oleh Allah SWT ke atas kamu
akan didapati olehmu esok (hari Akhirat). Dan kami juga insyaAllah akan
menyusuli kamu jua.” [Riwayat Muslim (974)]
Adapun bagi wanita, mazhab jumhur
ulama’ mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh menziarahi perkuburan
berdasarkan hadith Nabi SAW bahawa laknat Allah SWT ke atas wanita yang
menziarahi kubur (berdasarkan hadith riwayat al-Tirmizi di atas).
Selain itu, makruh bagi wanita
disebabkan hati mereka ini lembut, banyak mengeluh, tidak kuat ketika ditimpa
musibah dan kesemua ini merupakan faktor wanita itu akan menangis serta
meninggikan suaranya.
Mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa
sunat bagi wanita menziarhi kubur sepertimana juga lelaki berdasarkan (umum)
hadith Nabi SAW (setelah dianjurkan menziarahinya). [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24-25/8]
Berkata para pengarang kitab al-Fiqh
al-Manhaji:
“Namun sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’
dan orang soleh dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul,
bersesak-sesak, bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang
mungkin membawa fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka
berziarah.” [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/266]
Di samping itu, sebahagian ulama’
menyatakan sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 1/389]
Pada pandangan kami, makruh bagi wanita
untuk menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah
SAW kerana hukumnya adalah sunat. Juga kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat
dengan syarat menjaga adab-adab berziarah. Pendapat lain pula mengatakan haram.
Pendapat lain juga menyatakan harus sekiranya aman daripada fitnah bagi wanita
berdasarkan hadith-hadith di atas dan ini merupakan pendapat yang lebih sesuai untuk diamalkan pada masa
kini dengan syarat mesti dijaga adab-adab ketika berziarah.
Penutup
Kesimpulannya, menziarahi kubur
merupakan satu amalan yang mulia kerana ia akan mengingatkan seseorang itu akan
kematian atau akhirat. Di samping itu juga, kita perlulah menjaga adab-adab
ketika menziarahinya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di
dalam agama ini supaya setiap perkara yang kita lakukan dan amalkan bertepatan
dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment