Tujuh Amal Jariah Yang Pahalanya
Berterusan Walaupun Pelakunya Sudah Meninggal Dunia
dipetik
dari: https://id-id.facebook.com
Hadis tentang amal jariah yang popular dari Abu Hurairah menerangkan
bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia,
maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga macam perbuatan,
iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya
“(Hadis Riwayat Muslim). Selain dari ketiga jenis perbuatan di atas, ada
lagi beberapa macam perbuatan yang tergolong dalam amal jariah.
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya
diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya
meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang
ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang
dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan.
sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang
disedekahkannya “(Hadis Riwaya Ibnu Majah).
Di dalam hadis ini disebut tujuh macam amal yang tergolong amal jariah
sebagai berikut.
1. Ilmu yang di sebarluaskan :
Menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, baik melalui
pendidikan formal (seperti sekolah, universiti , kolej dan institusi) dan
pendidikan tidak formal seperti perbincangan ilmiah, tazkirah di masjid-masjid,
ceramah umum, kursus motivasi, program dakwah dan tarbiah dan sebagainya.
Termasuk dalam kategori ini adalah menulis buku-buku yang berguna , menulis
kitab-kitab agama dan menyebarkan bahan-bahan pendidikan Islam melalui
artikal-artikal tazkira samaada di facebook atau blog.
2. Anak soleh yang ditinggalkan :
Mendidik anak menjadi anak yang soleh. Anak yang soleh akan selalu
berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang
diperbuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya
yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang diterima
oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi
Allah SWT.
3. Mushaf (kitab-kitab agama) yang diwariskannya :
Mewariskan kitab suci al-Quran, kitab tafsir al-Quran, mushaf (buku
agama) kepada orang-orang yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan
masyarakatnya. Samaada untuk ahli keluarga dirumah, untuk sekolah-sekolah agama
dan maahad tahfiz dan untuk perpustakaan awam. Selagi kitab-kitab tersebut
digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan maka orang yang mewakafkan akan
mendapat pahala yang berterusan.
4. Masjid yang dibina :
Membangun masjid. Perkara ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang
bermaksud, “Barangsiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah walau
sekecil apa pun, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di
syurga” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang membina masjid tersebut akan menerima pahala seperti pahala
orang yang mengerjakan amal ibadah di masjid tersebut. Termasuk juga mewakafkan
tanah untuk pembinaan masjid.
5. Rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan
:
Membangun rumah musafir atau pondok bagi orang-orang yang bermusafir
untuk kebaikan adalah suatu amalan sangat di tuntut. Setiap orang yang
memanfaatkannya, baik untuk berehat sebentar mahupun untuk bermalam dan
kegunaan lain yang bukan untuk maksiat, akan mengalirkan pahala kepada orang
yang membinanya. Termasuk juga kita membina pondok perhentian bas ditepi-tepi
jalan yang tidak di bina oleh kerajaan.
6. Sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai,
Mengalirkan air secara baik dan bersih ke tempat-tempat orang yang
memerlukannya atau menggali perigi di tempat yang sering dilalui atau didiami
orang ramai. Setelah orang yang mengalirkan air itu meninggal dunia dan air itu
tetap mengalir serta terpelihara dari kecemaran dan dimanfaatkan orang yang
hidup maka ia mendapat pahala yang terus mengalir.
Semakin ramai orang yang memanfaatkannya semakin banyak ia menerima
pahala di akhirat. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa membina sebuah telaga
lalu diminum oleh jin atau burung yang kehausan, maka Allah akan memberinya
pahala kelak di hari kiamat.” (Hadis Riwaya Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah).
7. Harta yang disedekahkannya :
Menyedekahkan sebahagian harta. Sedekah yang diberikan secara ikhlas
akan mendatangkan pahala yang berlipat ganda. Selain daripada harta yang
diberikan sebagai sedekah, termasuk juga mewakafkan tanah untuk pembangunan
pendidikan Islam, rumah anak yatim, maahad tahfiz, tanah perkuburan dan rumah
oarng-orang tua. Selagi tanah tersebut digunakan untuk kebaikan maka pahalanya
akan berterusan kepada pemberi tanah wakaf tersebut.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sedekah itu benar-benar
dapat memadamkan panas kubur bagi pelakunya, sesungguhnya orang mukmin kelak di
hari kiamat hanyalah bernaung dalam naungan sedekahnya. (Hadis Riwayat
Al-Tabrani)
Sedekah dapat di jadikan sebagai pemberi syafaat bagi pelakunya . Di
dalam kubur ia mendapatkan kesejukan berkat sedekahnya dan terhindar dari
panasnya kubur. Demikian pula di hari kiamat, ia akan mendapatkan naungan dari
amal sedekahnya, padahal ketika itu kebanyakan manusia berada di dalam
kepanasan yang tiada taranya. Dalam hadis lain di sebutkan bahawa sedekah itu
dapat menolak kemurkaan Allah.
Apa yang ditegah adalah sikap bakhil, kecintaan melampau terhadap nikmat
dunia dan kurang peka terhadap golongan memerlukan bantuan. Sikap seumpama
‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebenarnya tidak ada dalam
kamus Islam.
Tinjaulah bagaimana mereka yang berada dalam kelompok mukmin yang
bergelar hartawan seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempamerkan
nilai diri yang melandasi tuntutan agama. Mereka langsung tidak sayang dan
kedekut dengan harta yang mereka miliki, sebaliknya merekalah yang muncul
sebagai penyumbang utama kepada usaha meningkatkan syiar agama termasuk dalam
aspek menyalurkan aneka bantuan kepada masyarakat.
Sejarah dengan jelas merekodkan dalam tinta emas kedudukan mereka itu
yang begitu berperibadi luhur dalam kerja-kerja membantu golongan miskin.
Inilah sebenarnya yang Islam kehendaki, iaitu yang kaya membantu mereka yang
miskin. Barulah bermakna dan bermanfaat segala harta dunia yang dimiliki.
Pesanan Allah SWT berikut ini wajar kita ingat selalu firman-Nya yang
bermaksud : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah
kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah
(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian rahmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan
kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat
kerosakan.” (Surah al-Qasas ayat 77)
Justeru, daripada apa yang dinyatakan Allah SWT itu jelaslah bahawa kita
digalakkan supaya berusaha menggandakan usaha mencari kekayaan dunia tetapi
dalam kerangka piawai hidup yang seimbang untuk dunia dan akhirat. Dengan
demikian kita sebenarnya dianjurkan berusaha gigih memperoleh kekayaan dunia
agar dapat mempertingkat kualiti ibadat yang berhubung secara langsung dengan
Allah SWT dan sesama manusia. Inilah yang diarahkan kepada kita semua.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Orang yang membelanjakan
(mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau
berterang-terangan, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tiada
kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah ayat 274).
Menyentuh firman Allah ini, Imam al-Khazin dalam tafsirnya memberitahu
kita bahawa: “Dikatakan bahawa ayat ini berlaku umum untuk setiap orang yang
membelanjakan harta mereka pada setiap waktu dan merata untuk semua kalangan,
baik yang berada dalam kesulitan memenuhi keperluan, dan mereka yang
meminta-minta serta hidup dalam kemelaratan.”
No comments:
Post a Comment