BACA YAASIN DI KUBURAN
Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung – hujungnya dan
pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah – tanah
perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah
maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa
tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor
suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka
yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para
penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai
hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada
keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab
asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat
untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah Muhammad
bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya
beliau "al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah" menyatakan,
antara lain sebagai berikut:-
Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab
oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam
"Syarah al-Muhadzdzab" bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur
untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka.
Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i
sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika
dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah
afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan
sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut
setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.
Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah
menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya
"ar-Ruh" pada halaman 18 sebagai berikut:-
Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang
berkata: "Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr
bin al-Tammar berkata: "Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi
kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian
hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah
Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: "Ya Allah, seandainya Engkau memberi
pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni
perkuburan ini". Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita
kepada si lelaki tadi seraya berkata: "Adakah engkau si fulan anak si
fulanah?" Dia menjawabnya: "Ya." Wanita tersebut berkata lagi:
" Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi
melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: "Kenapa engkau
duduk di sini?" Dia menjawab: "Sesungguhnya si fulan anak si fulanah
telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan
pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada
yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli
kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin
tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya)."
Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara
seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau
menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah.
Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.
No comments:
Post a Comment