Tiga amalan yang terus mengalir
Dr Abdul Hayei Abdul Sukor adalah bekas Dekan dan
Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademik Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM)
Rasulullah saw bersabda:
-
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ ، إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Terjemahannya: “Apabila manusia meninggal dunia
terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang
berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa
kepadanya.”
(HR Muslim, bilangan (3092) daripada Abu Hurairah).
Ulasan Hadis
Ganjaran sesuatu amal kebajikan akan terputus
sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia. Hanya tiga jenis amalan yang
dijamin pahalanya mengalir sekalipun tali hayat terputus. Tiga jenis amalan
yang dimaksudkan ialah:
Pertama:
Sedekah Jariah, ertinya sedekah yang pahalanya berterusan hingga selepas
mati, seperti amalan membina masjid,
membina perigi awam, membina jalan raya, mewakaf kitab suci al-Quran, membina
perpustakaan awam dan sebagainya.
Maksud sedekah yang tidak akan mengalir pahalanya
selepas mati ialah sedekah yang jangka manfaatnya tidak panjang seperti memberi
makan kepada fakir miskin dan amalan-amalan yang jangka hayatnya singkat dan
terbatas kepada orang-orang tertentu dan masa-masa yang tertentu sahaja.
Jangka hayat seseorang sangatlah singkat berbanding
usia dakwah yang berterusan hingga kiamat. Seseorang insan tidak
seharusnya berfikir mengikut tempurung zaman yang selesai dengan kematiannya,
sebaliknya hendaklah berfikir usia dakwah yang jauh melangkau ke hadapan berbanding
usia manusia.
Kedua:
Ilmu yang dimanfaatkan selepas
kematian. Ilmu juga menduduki tempat
teratas dalam senarai amalan yang mengalir pahalanya selepas mati.
Kepentingan ilmu-ilmu agama lebih jelas apabila dengan ilmu ini seseorang dapat
membezakan di antara baik dan buruk, di antara halal dan haram, di antara
dosa dan pahala. Antara amalan yang lebih bermanfaat di bidang ini ialah
mengajar dan menyebarkan pengetahuan dalam bidang al-Quran, Hadis dan
pengetahuan am berkaitan Islam.
Ketiga:
Anak yang soleh, sama ada lelaki atau perempuan yang berdoa dan berbuat kebajikan
kemudian menghadiahkan pahalanya jika ada, kepada kedua ibu bapanya, dengan syarat mereka juga beragama Islam.
Amal-amal kebajikan yang dilakukan anak tidak memberi faedah jika ibu bapa mereka
bukan Muslim, malah tidak diharuskan anak-anak berdoa kepada ibu mereka yang
masih kafir.
Mengulas hadis ini, Imam Nawawi RA berpendapat,
seseorang digalakkan berkahwin dengan niat mendapatkan anak yang soleh. Ini
kerana anak yang soleh tidak mungkin dihasilkan tanpa perkahwinan yang sah.
Atas kesedaran ini jugalah Nabi Allah Zakaria AS
memohon kepada Allah seorang anak lelaki dalam usianya yang cukup tua tambahan
pula dengan isterinya yang mandul agar harapannya itu menjadi kenyataan supaya
nanti akan mewarisi tugas-tugasnya sebagai Nabi.
Pengajaran Hadis:
1. Seseorang dikehendaki melakukan amal-amal yang
mendatangkan pahala yang terus mengalir kepadanya selepas meninggal dunia.
2. Ilmu di dalam Islam mempunyai kelebihan yang sangat
besar manfaatnya sekalipun selepas meninggal dunia.
3. Mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam sangat
dikehendaki bagi mempastikan hidup mereka tidak tersasul dari jalan kebenaran
dan tidak lupa mendoakan ibu bapanya.Kelebihan orang berilmu berpanjangan dari
dunia hingga akhirat.
No comments:
Post a Comment